Keputusan pemilihan pimpinan PAS sesi 2013-2015 dijangka akan diketahui lewat tengah hari ini selepas pengundian untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) parti itu selesai dijalankan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu, proses pengundian untuk jawatan AJK PAS Pusat dijangka selesai dalam tempoh dua jam.

Katanya, pengundian untuk memilih 18 AJK PAS Pusat itu akan bermula pukul 8.15 pagi.

"Paling awal keputusan akan diumumkan pukul 12 tengah hari tetapi kita menjangka proses pengiraan undi akan mengambil sedikit masa, jadi mungkin keputusan penuh diumumkan pukul 2 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pemilihan untuk jawatan AJK PAS Pusat yang sepatutnya dilakukan pada petang Jumaat telah dibatalkan akibat kesilapan teknikal dan diadakan kembali pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi mengumumkan pembatalan pengundian jawatan AJK PAS Pusat selepas 45 minit perwakilan membuang undi yang bermula pukul 4 petang Jumaat.

"Kita kesan terdapat kesalahan pada kertas undi, jadi bagi mengelakkan sebarang implikasi yang lebih besar...kita tangguhkan hingga Sabtu," katanya.

Bagaimanapun Asmuni menjelaskan proses pengundian bagi jawatan timbalan dan naib presiden diteruskan seperti yang dijadualkan.

61 calon bersaing merebut 18 kerusi AJK PAS Pusat yang dipertandingkan.